KUALA LUMPUR: Artis remaja yang dilarikan kekasihnya ke Lombok, tiga bulan lalu, disahkan berada di pulau timur Indonesia itu dan mengandung beberapa minggu selepas mereka dipercayai berkahwin sebaik tiba di pulau itu.
Berita mengenai artis berkenaan, Salsabila Yunan, 15, atau dikenali sebagai Bella mengandung disahkan dua wakil Migrant Care yang menemuinya di Kampung Bara Bali, Lombok Tengah, petang kelmarin.
Wakil Migrant Care, Alex Ong, berkata Bella sihat dan dia kini hamil selepas dinikahkan dengan lelaki bernama Hafiz oleh imam kampung berkenaan dikenali sebagai Haji Makmur.
“Wakil Migrant Care di sana (Lombok) tidak tahu bila Bella bernikah kerana dia tidak banyak bercakap. Bella agak terkejut dan wakil kami cuba memujuknya supaya pulang. Kami memberitahu keadaan ayahnya yang uzur di negara ini,” katanya ketika dihubungi, semalam
Sementara itu, bapa Bella, Yunan Mat Ayat, 77, berkata jika benar anaknya mengandung, dia masih sanggup menerima kepulangannya.
Kisah Bella dilaporkan Harian Metro pada 31 Oktober lalu apabila Yunan mengadu kehilangannya dipercayai dilarikan seorang lelaki penduduk asal Pulau Lombok dikenali sebagai Hafiz ke Kampung Bara Bali, Lombok Tengah.
Susulan itu, dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Perhimpunan Indonesia untuk Buruh Migran Berdaulat Migrant Care serta Kijang Care bersedia membantu menyelamatkan pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Batu Muda di sini.
Antara drama yang pernah dilakonkan Bella sebagai pelakon tambahan ialah Gerak Khas, Renjis, Ke Syurga Cinta dan iklan Ribena.
Sumber: Metro



